Tuesday, November 19, 2013

MISSION IMPOSSIBLE : MEMBAIKPULIH LADANG TEBU

Salam sejahtera.

Melihat tajuk pada kali ini, nampak agak berbeza dan baru, kan?
Inilah cabaran yang kami sahut bagi mencari pengalaman dan peluang yang mungkin sedikit berbeza dari yang sebelum ini.

Alkisahnya,
Kami dihubungi oleh seorang tuan punya ladang tebu seluas 4 ekar di Rasa, Hulu Selangor. Beliau ingin menjual ladang tersebut kepada mana-mana pihak yang berminat dengan harga RM XXXX. Namun begitu, sehingga akhir Oktober yang lalu, tiada sesiapa yang berminat dengan ladang tersebut. Oleh itu, beliau ingin menjualnya kepada kami dengan harga yang lebih rendah daripada harga tawaran itu. Kami pun terima.

Inilah ladangnya.




Amacam?

Menarik, teruja dan seram.

Menarik, kerana ada cabaran baru menanti. Kami ingin meneroka dan mencabar diri dalam bidang penanaman tebu. Kami mahu melihat sejauh mana kami boleh pergi dalam bidang ini.
Untuk itu, prospek cabaran utk ladang ini memang menarik.

Teruja, kerana ladang ini akan menjadi batu loncatan utk kami maju lagi. Lebih-lebih lagi, kami kini memiliki ladang yang lebih besar dan lebih luas. Ini memberikan kami peluang utk bereksperimen dengan penanaman tebu.

Seram, kerana keadaan ladang ini ketika mula-mula kami sampai.
Rumput dan lalang bermaharajalela. Pokok tebu pula banyak yang terencat dan perlu penjagaan yang lebih.



Jadi, misi kami sekarang adalah,

"Transformasi Ladang Sakit kepada Ladang Jaya"

Mustahil?
Nampak macam mustahil, namun kami akan jayakan ladang ini juga dengan formulasi dan teknik yang kami yakini sesuai serta boleh dilaksanakan. Doakan agar kami berjaya melakukannya...

Wassalam.

PS: "Jika anda menerima misi ini, pihak Setiausaha Kerajaan akan menafikan apa-apa jua kewujudan anda dalam sebarang bentuk tindakan anda. Mesej ini akan musnah sendiri dalam masa 5 saat."
5...4...3...2...1...    BOOM!!!
Hahaha..dialog popular "Mission Impossible". ( saja melawak, hehehe...) :)


Sunday, November 17, 2013

Asyik Cerita Tebu je, Apa Kata Tengok Tanaman Lain Pulak...

Salam sejahtera sahabat-sahabat sekalian.

Hmm..kalau tengok pada tajuk entri nih, macam best je, macam menarik je...(hehehe..parodi yg popular sekarang nih!). Sekadar melawak je...


MELAWAT KEBUN SAYUR DI SG BESAR

Ada dalam kalangan sahabat-sahabat yang bertanya pada saya, "tak nak cuba tanaman lain ke?", "tanaman OOO lebih menguntungkan la...", "tebu hasilnya lambat laa..tanam OOO lebih cepat untung!".

Haa...oleh sebab nak menyahut seruan rakan-rakan tadi, saya pun mengusulkan kepada rakan kongsi utk lihat tanaman-tanaman lain pula.

Ok, baru-baru ini, saya bersama Edi dan Pak Lang telah melawat sebuah kawasan kebun kecil di Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor. Lawatan kami ini hanya utk melihat kejayaan kebun rakan Pak Lang kami ini.





Kawasan tanah gambut seluas lebih kurang 3 ekar ini ditanam dengan pelbagai jenis sayur-sayuran. Antara yang ditanam di sini adalah :-
   1. Kangkung
   2. Cili Kampung
   3. Pucuk Manis
   4. Pucuk Meranti
   5. Bayam Merah
   6. Kacang Panjang
    dll...

Pemilik kebun ini adalah abang Mat. Orangnya memang 'otai' dan selamba. Mula-mula kami tiba di sana dan meninjau-ninjau kawasan kebunnya, dia bersuara dengan kata-kata yang memang pedas!

" Cikgu-cikgu ni boleh ke nak berkebun? macam tak yakin je aku..."

Hmm... saya hanya menyambut kata-katanya itu dengan sebuah senyuman. Saya rasa tak perlu nak berasa hati dengan kata-katanya itu kerana memang dia layak utk bersikap begitu (mungkin kerana dia pernah melihat begitu ramai kakitangan kerajaan yg nak berkebun, gagal di pertengahan jalan...).

Ni lah Abg Man, otai Sg Besar yang sedang menghidupkan pam air utk siraman pada tanamannya.



Tanah digembur dan dibuat batas dengan sempurna.


Banyak tips yang diberikan oleh Abg Man berkenaan penanaman sayur-sayuran ini. Dari mula menggembur tanah, hinggalah menuai hasil, macam-macam tips yang diberi. Kami hanya perlu 'tadah telinga' dan terima saja apa yang diberi.

Memang seronok apabila sesekali dapat melawat kebun orang nih. Bukan saja dapat ilmu, yang lain-lain pun dapat! 
Contohnya, Pak Lang kami diminta kutip cili kampung yang ada di situ. Kata Abg Mat, "Ko nak ambil berapa banyak pun ambil lah...jangan tak termakan dan buang, sudah la..".



"Pucuk dicita ulam mendatang" la...kata Pak Lang nih.

Kesimpulannya, banyak kebaikannya berbudi kepada tanah ni. Abg Mat ni pun berjaya mengumpul sedikit harta seperti rumah sendiri dan kenderaan hasil bercucuk tanam begini. Jadi, 

"Siapa kata petani tak boleh jadi kaya..?"

Begitulah aktiviti kami di kebun tuh. Insya-Allah kalau ada masa, saya akan kongsikan tips-tips yang beliau beri dalam blog ini.


MELAWAT PUSAT PENDARATAN KERANG SG BESAR

Usai saja di kebun Abg Mat, kami bergegas ke Jeti Nelayan Sg Besar utk melawat saudara-mara Pak Lang yang tinggal di situ. Kebetulan pada waktu itu, kerang sedang dinaikkan di jeti.

 Subhanallah, cantik betul pemandangan di jeti ni pada waktu petang. (rasa macam di jeti penambang Pendekar Bujang Lapok daa...hehe!)





Inilah beberapa guni kerang yang sedang ditimbang utk diserah kepada peraih-peraih yang sedang menunggu di jeti ini.

Berat setiap guni kerang mencecah 70 kg. Harga seguni kerang? hehe..maaf, rahsia!

Memang canggih peralatan yang ada di sini. Alhamdulillah kebanyakannya adalah hasil bantuan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Good Job!!





Guni-guni kerang ini diserah kepada peraih yang sedia menunggu. Ada antara peraih tersebut datang dari Pasar Borong Selayang, Pasar Besar Klang dan beberapa tempat yang lain. Memang maasyuuk!



Ini sebahagian daripada baki kerang yang tidak mencapai gred pasaran. Kerang-kerang ini akan dihantar kembali ke tempat pembiakannya supaya dapat membesar lagi.

Seusai disini, kami pun pulang dengan membawa 3kg kerang segar setiap seorang. Kalau ikut kata tauke kerang ni, "ambillah seguni, senang nak makan-makan!"..
Woo..takpelah. bagi seguni pun kalau tak habis, membazir je nanti. Kami pun bukan selalu makan kerang nih, takut gout. hehehe...

Alhamdulillah, kami berasa amat seronok dan teruja kerana lawatan kami ke Sg Besar tidak sia-sia. Banyak ilmu dan maklumat yang kami dapat tentang pertanian, di samping merapatkan hubungan sesama Muslim yang sama-sama berkecimpung dalam industri pertanian.

Terima kasih tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi membaca coretan kali ini yang agak panjang. Semoga bermanfaat utk kita semua.
Wassalam.

Tuesday, November 12, 2013

Kerja-Kerja Meracun..di Musim Hujan..

Salam semua...
     Alhamdulillah sempat lg update blog nih dalam keadaan yg agak sibuk sedikit. Kepada sahabat-sahabat yg menanam tebu juga, mcm mana kebun tebu tuan-tuan sekalian skrg ni ye?

Mesti dah mencapai 2-3 kaki dan sihat-sihat belaka.

Begitu juga lah dgn kebun tebu kami. Sementelahan pula skrg ni musim hujan, memang tumbuh subur (cuma kdg-kdg risau takut banjir).

Jadi, bila musim hujan nih, bukan shj tebu yang subur. Rumput dan semak di sekeliling tebu tu pun hidup subur. Kalau dibiarkan, memang akan membantutkan tumbesaran tebu.

Nak dicabut satu-satu, memang tak larat la.

Nak dipotong menggunakan mesin rumput pula, tahan 3 minggu. Selepas itu, naik balik.

Cara yang lebih baik, meracun je la.

Ni lah racunnya...Basta 15.

Sejak dari Ladang Felda Palong dulu lg, kami memang menggunakan racun Basta nih. Bagusnya racun ini kerana :-
  - rumput keliling tebu memang akan layu dalam tempoh sehari je.
  - dalam seminggu, rumput akan mati.
  - tebu pula tidak terjejas (ini yang paling penting tuh)
  - kalau tebu terkena racun ini pun, ia akan menguning sekejap dlm beberapa hari, kemudian ia ok semula.

Keburukannya, ia MAHAL skit.
 - 1 liter Basta 15 berharga rm42
 - 5 liter Basta 15 berharga rm235

                               takpe la... 'Alah membeli menang memakai'.

Cara nak meracun?

           Cara meracun terbaik adalah menggunakan mesin racun seperti ini.



Boleh muat 26 liter penuh. Semburan pun kuat dan rata. Boleh di 'adjust' nak kuat atau perlahan. Memang terbaik. Cuma nasihat saya, jgn isi penuh-penuh, takut tak larat nak bawa mesin nih.



Amacam? ok kan? Tapi kalau sahabat-sahabat ada cara dan info yg lebih baik psl meracun nih, meh kongsi di sini ye...

T

Saturday, November 9, 2013

Formula Mengira Tebu : Berapakah keuntungannya?

Salam semua...

  Sejak beberapa minggu ni, saya kerap menerima panggilan daripada rakan-rakan (En.Syam, Syarif dan lain-lain) tentang anggaran pendapatan dari penanaman tebu dan potensinya.

  Soalan yang biasa diajukan adalah :
 "Macam mana nak kira berapa batang tebu yang boleh diperolehi dari tanah 1 ekar?"

Formula pengiraannya adalah sama seperti yang dipaparkan dalam blog tebu-daengnusantara iaitu:

1 ekar tanah bersamaan 43560 kaki persegi

Oleh itu,               43560 x (ekar tanah) 
                        (jarak baris x jarak pokok)
Contohnya:

Keluasan Tanah = 3 ekar
Jarak pokok ke pokok = 4 kaki
Jarak baris pokok ke baris pokok = 7 kaki

Jadi,         43560 x (3 ekar)
                (4 kaki x 7 kaki)
  
    =          130680 / 28
 
    =          4667 lubang

Jika anda menanam 2 btg benih tebu dalam 1 lubang, maka anggaran pokok yang akan tumbuh dari lubang itu adalah antara 6 btg hingga 10 btg tebu.

Jika 6 btg tebu yang tumbuh dari 1 lubang, maka:
                   4667 lubang x 6 btg tebu/lubang = 28002 btg tebu.
Jika harga sebatang tebu adalah RM 1.50 sen, maka :
                   28002 btg tebu x RM1.50 = RM42,003.00

Hmm..selepas buat pengiraan begini, adakah anda masih tak teringin nak menanam tebu?

Ps: Harus diingat, itu hanya anggaran semata-mata. 

"Realiti tak seindah Teori"



Pembajaan Tebu dan Pertanyaan

Salam sejahtera rakan-rakan sekalian.
  
   Alhamdulillah, saya masih diberi peluang oleh Allah utk mencoret sesuatu yang boleh dikongsi bersama dalam blog ini. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan blog yang selalu memberi mesej bertanyakan tentang status blog ini yg senyap tanpa sebarang berita.

Senyap bukan bererti mengalah, tetapi kerana kekangan masa dan tugasan yg perlu disiapkan. Namun begitu, ladang tebu tetap di hati saya. Oleh itu, kali ini saya catatkan perkembangan yang berlaku dalam sebulan yang lalu.






Adakah anda nampak perubahan yang berlaku pada pokok-pokok ini?

Pada entri yg dulu, pokok-pokok tebu ini masih dalam lubang dan tunas pula baru bercambah. Tapi pada kali ini, pokok-pokok ini kelihatan seperti di dalam batas.

Sebab, setelah pokok tebu mencapai ketinggian 1-2 kaki, maka kerja-kerja penimbusan dan penggemburan tanah perlu dilakukan. Tanah di tepi pokok akan dicangkul dan diletakkan dalam lubang benih. Kemudian tanah terus letakkan di keliling pokok agar menyerupai batas.

Tujuannya:-
 1. supaya tanah pada pokok tebu akan memperoleh mineral dari tanah sekitarnya
 2. supaya pokok akan bertambah kukuh dan menegak dengan baik
 3. mengurangkan kemungkinan pokok tumbang apabila berlaku ribut atau angin kencang

Setelah digembur dan membuat batas, boleh lah ditabur baja tumbesaran. Saya dan Edi biasanya menggunakan baja NPK 15:15:15 cap Kepala Singa.





Sering saya diajukan soalan-soalan seperti berikut.

1. Berapa banyak baja nak diberi pada sebatang pokok?

2. Dalam seekar tanah, berapa beg baja yang diperlukan?

3. Kalau semusim pula, berapa jumlah baja yang diperlukan?

4. Ada orang kata, baja tahi ayam pun boleh digunakan. Kenapa mesti guna yang mahal-mahal nih?

     Saya nasihatkan anda supaya memahami tentang hakikat satu perkara, iaitu:

 "Pertanian adalah suatu seni" 

Maksud saya adalah, semuanya terpulang kepada budi bicara anda sebagai tuan punya/pengurus ladang tebu anda sendiri. Tidak ada formula yang jitu dan ampuh bagi pembajaan yang terbaik.

Tetapi secara kasarnya adalah :-

1. Baja hanya perlu ditabur secara rawak (dalam kuantiti segenggam) ke atas sebaris pokok tebu

2. Baja yang diperlukan lebih kurang 2 hingga 3 beg utk seekar tanah

3. (2 hingga 3 beg/ekar) x keluasan kawasan (ekar) =  jumlah baja per musim

4. Baja tahi ayam boleh digunakan, tetapi saya tidak mengesyorkannya. Ini disebabkan terdapat beberapa kes air tebu berwarna coklat gelap akibat penggunaan baja tahi ayam.

Harap-harap info ini dapat membantu sedikit sebanyak tentang pembajaan. Semua info ini saya dapat berasaskan pengalaman saya dan Edi, oleh itu mungkin ada perbezaan teknik pembajaan pada peladang-peladang tebu yang lain.

Apa pun, terima kasih kerana mengunjungi blog saya ini.